Make your own free website on Tripod.com

PINDAH HAKMILIK


PERHATIAN

 

Di bawah Seksyen 13(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, semua permohonan untuk pertukaran milikan kenderaan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah JPJ Negeri berkenaan dalam tempoh 7 hari dari tarikh kenderaan itu bertukar tangan. Kegagalan berbuat demikian, penjual dan pembeli boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 bulan bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan kedua atau kemudiannya boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya.

Tanggungjawab penjual kenderaan

  1. Apabila anda menjual kenderaan, anda sebagai pemunya berdaftar kenderaan adalah diwajibkan memberitahu pengarah JPJ Negeri berkenaan mengenai pertukaran milikan tersebut dengan mengisi dan menandatangani Bahagian A Borang JPJ K3.

  2. Borang JPJ K3 hendaklah diserahkan kepada pembeli berserta dengan dokumen seperti berikut :

  1. Perakuan Pendaftaran kenderaan asal

  2. Salinan kad pengenalan yang disahkan(sekiranya anda mengemukakan permohonan sendiri anda perlu mengemukakan kad pengenalan asal)

  3. Surat pelepasan tuntutan hak milik(jika anda telah mengambil pinjaman kenderaan dari institusi kewangan)

  1. Anda hendaklah memastikan pertukaran milikan didaftarkan dengan JPJ oleh pembeli kenderaan dalam tempoh 7 hari kenderaan bertukar tangan. Kegagalan anda berbuat demikian akan membawa akibat seperti berikut :

  1. Anda boleh didakwa di bawah Seksyen 13(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

  2. Anda masih bertanggungjawab di atas segala yang berlaku kepada kenderaan tersebut walaupun tidak ada dalam milikan atau simpanan anda lagi.

Tanggungjawab pembeli kenderaan
  1. Apabila anda membeli kenderaan terpakai, anda perlu mendapat daripada penjual, dokumen-dokumen seperti berikut :

  • Borang JPJ K3 yang telah diisikan dan ditandatangani oleh pemunya berdaftar

  • Salinan kad pengenalan pemunya berdaftar

  • Perakuan pendaftaran kenderaan yang asal

  • Surat pelepasan tuntutan hak milik dari institusi kewangan berkenaan (jika berkenaan)

  1. Anda dikehendaki mengisi dan menandatangani Bahagian B borang JPJ K3.

  2. Jika anda ada apa-apa keraguan mengenai identiti kenderaan yang sebenarnya anda boleh membawa kenderaan tersebut untuk diperiksa oleh PUSPAKOM sebelum membelinya.

  3. Anda dikehendaki mendaftarkan pertukaran milikan kenderaan di Pejabat JPJ berkenaan dalam tempoh (7) hari dari tarikh kenderaan itu bertukar tangan. Kegagalan anda berbuat demikian akan mengakibatkan anda boleh didakwa di bawah Seksyen 13(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dokumen yang diperlukan untuk pertukaran pemilikan kenderaan
  1. Pertukaran Milikan Kenderaan Penumpang Persendirian

  1. Borang JPJ K3 yang ditandatangani oleh pemunya berdaftar (Penjual) dan pemilik baru (Pembeli)

  2. Salinan fotostat kad-kad pengenalan yang disahkan bagi penjual dan pembeli atau salinan perakuan pendaftaran perniagaan/ syarikat.

  3. Lampiran 'A' (Surat Pelepasan Tanggungan)

  4. Perakuan pendaftaran kenderaan yang asal.

  5. Surat pelepasan tuntutan hak milik (jika penjual telah mengambil pinjaman kenderaan dari institusi kewangan)

  6. Surat tuntutan hak milik (jika pembeli mengambil pinjaman kenderaan dari institusi kewangan)

  7. Nota perlindungan/polisi insurans atas nama pembeli

  8. Bayaran

  1. Pertukaran Milikan Kenderaan Perdagangan

Bagi pertukaran milikan kenderaan perdagangan, dokumen-dokumen seperti di perenggan 4a (i) hingga (vii) adalah diperlukan. Selain daripada kehendak ini penjual dan pembeli selanjutnya perlu mengambil langkah-langkah seperti berikut :

 

Penjual : Penjual dikehendaki menyerahkan dokumen-dokumen berikut untuk dibatalkan:

  1. Lesen Kenderaan Perdagangan yang berkaitan dengan kenderaan perdagangan yang berkaitan yang dikeluarkan oleh Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP)

  2. Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang masih sahlaku

  3. Sekiranya kenderaan itu sebuah teksi atau kereta sewa pandu sendiri, plat-plat pengenalan khas yang dikeluarkan kepada kenderaan-kenderaan itu.

Pembeli : Pembeli boleh menggunakan kenderaan yang dimaksudkan itu sebagai kenderaan persendirian atau kenderaan perdagangan. Sekiranya pembeli hendak menggunakan kenderaan itu sebagai kenderaan perdagangan, ia perlu mengambil langkah-langkah berikut :

  1. Mengemukakan surat kelulusan/lesen yang dikeluarkan oleh Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP)

  2. Tanda-tanda yang ditetapkan di badan kenderaan

  3. Membawa kenderaan untuk pemeriksaan awalan di PUSPAKOM.

Nota : Sekiranya teksi atau kereta sewa hendak ditukarkan kegunaan sebagai kenderaan penumpang persendirian, pembelian hendaklah menyelesaikan duti kastam terlebih dahulu.

Bayaran

 

    Semenanjung Malaysia  
       
  i Semua kenderaan kecuali kenderaan orang cacat, motosikal, motosikal 3 roda, traktor atau kenderaan perdagangan RM 100.00
  ii Motosikal atau motosikal 3 roda RM 3.00
  iii Jentera bergerak, traktor atau kenderaan perdagangan RM 40.00
  iv Kenderaan orang cacat PERCUMA
  v Kenderaan dikawal pejalan kaki PERCUMA
       
    Sabah  
       
  i Semua kenderaan kecuali kenderaan orang cacat atau motosikal RM 40.00
  ii Motosikal RM 5.00
  iii Kenderaan orang cacat PERCUMA
  iv Treler RM 20.00
       
    Sarawak  
       
  i Semua kenderaan kecuali kenderaan orang cacat atau motosikal RM 40.00
  ii Motosikal RM 20.00
  iii Kenderaan orang cacat PERCUMA
  iv

Treler

   - 2 roda

   - lebih dari 2 roda

RM 10.00

RM 20.00

  v Kenderaaan dikawal pejalan kaki PERCUMA