Make your own free website on Tripod.com

LATAR BELAKANG JABATAN PENGANGKUTAN JALAN

       Jabatan Pengangkutan Jalan telah ditubuhkan pada tahun 1937, di bawah Enakmen Lalulintas 1937, Undang-undang tentera British di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pentadbirannya pada ketika itu dikenali sebagai Lembaga Pengangkutan Jalan yang berfungsi mengawal dan melesenkan perusahaan awam. Dengan wujudnya pentadbiran Tanah Melayu pada 1 April 1946, kuasa lembaga tersebut telah diambil alih oleh Pejabat Pendaftar dan Pemeriksaan Kereta-kereta Motor yang merangkumi seluruh Tanah Melayu.

        Sebelum 1937, pengawalan kereta-kereta motor adalah di bawah 4 (empat) Negeri-negeri Melayu Bersekutu iaitu di bawah Polis Perak dan Selangor, Ketua Inspektor Negeri Sembilan dan 6 (enam) Pegawai Daerah di Pahang. Pengawalan tidak berkuatkuasa di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. Selain dari 4 (empat) buah negeri mengenai kenderaan bermotor sehinggalah Enakmen Lalulintas 1937 diluluskan.

        Selaras dengan pembukaan jabatan tersebut, satu undang-undang jalan raya yang dinamakan Ordinan Lalulintas Jalan 1958, telah diluluskan menggantikan Enakmen Lalulintas 1937 itu. Memandangkan pentingnya tugas-tugas untuk menguatkuasakan undang-undang tersebut khasnya terhadap kenderaan perdagangan, maka Bahagian Penguatkuasaan telah diwujudkan dan menjalankan fungsi penguatkuasaan tersebut.

        Pada 1 April 1946, Jabatan Pengangkutan Jalan telah ditubuhkan yang bertujuan menyelaraskan segala aspek berkaitan pengangkutan bagi seluruh negeri. Sehubungan dengan penubuhan jabatan ini, pelbagai akta berkaitan Pengangkutan Jalan telah digubal seperti Ordinan Lalulintas Jalan tahun 1958 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987. Ini bertujuan bagi menyeragamkan undang-undang pengangkutan negara di samping menjadi landasan kepada JPJ melaksanakan tanggungjawabnya. Ekoran wujudnya kemajuan dalam sistem pengangkutan negara yang ketara pada tahun 1980. JPJ kian terbeban dengan pelbagai tanggungjawab dalam meningkatkan mutu perkhidmatannya. Selaras dengan itu, penyusunan semula struktur dalaman jabatan telah dilakukan bagi meningkatkan kecekapan agar bersesuaian dengan keperluan dan kepentingan semasa. Akibat wujudnya kepelbagaian fungsi dalam setiap bahagian yang terdapat di jabatan ini, maka pelbagai inovasi telah diwujudkan bagi meningkatkan mutu kecekapan dalam perkhidmatan. Era 1990 menunjukkan kemajuan yang paling memberangsangkan kerana wujudnya tuntutan yang menggalakkan terhadap sistem pengangkutan.

        Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia merupakan salah satu dari jabatan di bawah bahagian darat Kementerian Pengangkutan Malaysia. Bertanggungjawab dalam menyediakan perkhidmatan kaunter untuk perlesenan kenderaan dan pemandu serta menguatkuasakan Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk memastikan pemandu yang berhemah dan kenderaan yang selamat. Selain itu, ia juga merupakan organisasi yang menyediakan perkhidmatan yang berkualiti tinggi, menguruskan pungutan hasil serta menguatkuasakan akta pengangkutan secara telus dan berkesan .